Monday, December 16, 2013

:: 'Single': Ladang Pahala ::




Malam yang dingin menemaniku dan temanku,Balqis,disaat kami dalam perjalanan menuju ke Shas Mosque. Malam barakah, malam ke 25 Ramadhan. Malam yang penuh misteri, mungkin juga malam Lailatul Qadar.

Kelihatan langit disinari bintang-bintang berkerlipan, bulan tersenyum gembira mengiringi langkah menuju rumah Allah, angin seolah-olah meniupkan satu roh dan semangat untuk terus kuat melangkah,meninggalkan kamar tidur indah..

Kami berjalan menuju ke parkir motor Mahallah Halimah. Setelah beberapa langkah, Balqis bersuara,

“Fatma, Alhamdulilah, kita masih lagi berpeluang untuk ke masjid,untuk malam ke 25 Ramadhan, kita belum tahu lagi adakah kita berpeluang atau tidak untuk mengimarahkan masjid pada bulan ramadhan yang akan datang. Entah-entah kita sudah bertukar status, kemungkinan kita disibukkan dengan tanggungjawab lain yang lebih besar, menjaga anak dirumah dan sebagainya”.

Kata-kata yang terpacul dari bibir simanis berpurdah tadi itu, membuatkan aku terhenti seketika, dan hati terasa satu degupan kencang, kata-kata tadi seolah-olah menghiris konsentrasi.

Balqis merupakan sahabat yang baru aku dekati, untuk sama-sama menanam benih ukhwah, bersama-sama mengenali tarbiyah.

“Alhamdulillah Balqis, Allah itu sangat sayangkan kita, Allah tidak biarkan kita hanyut dengan zaman remaja kita. Padahal zaman ini, zaman bergolak hawa dan nafsu. Begitu ramai remaja yang hanyut sehingga mereka tidak merasakan manisnya beribadah kepada Allah, manisnya bercinta dengan Allah.”

“Balqis, betapa Allah itu sayangkan kita, Allah memberi peluang untuk kita sahut seruan nabi, Muda sebelum Tua. Masa muda yang singkat ini, perlu di manfaatkan sebaiknya, sebelum Tua datang menjemput”. Aku membalas lagi.

“Balqis, apabila kita lihat sahabat-sahabat kita mendirikan rumahtangga, timbul rasa cemburu dihati..apabila kita dengar sahabat kita bakal mendapatkan zuriat, timbul rasa ingin cepat-cepat mencetak zuriat sendiri..tetapi malangnya,kita sentiasa berfikir tentang orang lain, kita jarang menghargai anugerah Allah buat kita utk masa sekarang..

Sekarang kita masih solo,masih ‘single’ masih ad banyak waktu untuk jalinkan hubungan dengan Allah, masih ada banyak masa dgn sahabat-sahabat, masih ada banyak waktu dgn ibu ayah, masih banyak waktu utk kerja dakwah..jika waktu masih ada manfaatkanlah ia sebaiknya, supaya selepas kita punyai tanggungjawab lain nanti, kita berpuas hati dengan apa yang kita buat sebelum mendapat 'taklifat itu'..

Balqis hanya mendengar dan kadang-kadang mengangguk.

“Allahuakbar Allahu Akbar”

Kedengaran Azan yang sungguh merdu dari corong pembesar suara Shas Mosque. Sahabatku, Mashi dan Afaf, sedang beriktikaf di sana. Hanya kami berdua sahaja yang masih belum tiba di masjid.

Aku segera menghidupkan ‘kuda merahku’, sebuah Modenas Ct100. Dan terus bergegas ke Masjid.

Perbualan yang singkat tadi, memberi banyak motivasi dan inspirasi. Terasa pergi ke Masjid dengan nafas baru. Nafas seorang hamba yang Muda, yang sangat mengharapkan peluang masa berhubungan dengan Allah, berkhalwat denganNya, terus bercinta denganNya dan tidak lekang dari dakapan kasihNya..

Terasa diri ini, amat memerlukan cintaNya, berbanding dari cinta seorang lelaki.

Dia memberi cinta tanpa mengharapkan balasan dan cinta yang semaksimum mungkin. Bukan seperti cinta kepada manusia yang akan layu, di saat diuji, bukan hanya sekadar melafazkan sayang dan rindu ketika senang, dan bukanlah dia penjamin kebahagiaan kita.

Tiada yang lain selain Allah.

Rebutlah cintaNya, ketika kamu di usia sebegini.

Aku teringat pesan seorang ustazah bahasa arab, semasa di UIA Nilai, iaitu Ustazah yang mirip dengan Ustazah Fatimah Syarha,dialah Ustazah Amirah.

Ustazah Amirah pernah berpesan, “Beribadatlah sepenuh hati ketika kamu masih ‘single’, kerana lepas kamu berkahwin, masa kamu dengan Allah cukup terhad. Qiamullail pun sudah susah untuk kamu lakukan, kerana kepenatan menguruskan rumah tangga”.

Nasihat itu masih segar di jiwa.

Hati bermonolog, ya betul juga kata-kata Ustazah Amirah. Aku harus tanamkan satu tekad sebelum perkahwinan menjemput. Tekad untuk sentiasa bersemangat mengemban dakwah, mengulang hafazan Alquran, berbakti kepada ibu ayah, menuntut ilmu semampunya dan sebagainya.

Tekad baru yang harus di pasak pada hati, direalitikan melalui wasilah tulang dua kerat.

Sahabat sekalian, marilah kita kukuhkan hubungan kita dengan pencipta, supaya syurga menjadi milik kita. Jadikan masa ‘single’mu sebagai ladang untuk mengunungkan pahala. Selamat beribadah!

FatmaIIUM,
26 Ramadhan 1434H,
4 Ogos 2013
0110am
Tanah Merah,Kelantan.




No comments:

Post a Comment

| Suara Siswa Ikim fm- Mahasiswa dan Bahasa Arab |

Alhamdulillah, selesai berkongsi bersama rakyat malaysia tentang Mahasiswa dan Bahasa Arab.. Terima kasih kepada rakan2 daripada Majlis T...