Monday, December 16, 2013

:: 'Single': Ladang Pahala ::




Malam yang dingin menemaniku dan temanku,Balqis,disaat kami dalam perjalanan menuju ke Shas Mosque. Malam barakah, malam ke 25 Ramadhan. Malam yang penuh misteri, mungkin juga malam Lailatul Qadar.

Kelihatan langit disinari bintang-bintang berkerlipan, bulan tersenyum gembira mengiringi langkah menuju rumah Allah, angin seolah-olah meniupkan satu roh dan semangat untuk terus kuat melangkah,meninggalkan kamar tidur indah..

Kami berjalan menuju ke parkir motor Mahallah Halimah. Setelah beberapa langkah, Balqis bersuara,

“Fatma, Alhamdulilah, kita masih lagi berpeluang untuk ke masjid,untuk malam ke 25 Ramadhan, kita belum tahu lagi adakah kita berpeluang atau tidak untuk mengimarahkan masjid pada bulan ramadhan yang akan datang. Entah-entah kita sudah bertukar status, kemungkinan kita disibukkan dengan tanggungjawab lain yang lebih besar, menjaga anak dirumah dan sebagainya”.

Kata-kata yang terpacul dari bibir simanis berpurdah tadi itu, membuatkan aku terhenti seketika, dan hati terasa satu degupan kencang, kata-kata tadi seolah-olah menghiris konsentrasi.

Balqis merupakan sahabat yang baru aku dekati, untuk sama-sama menanam benih ukhwah, bersama-sama mengenali tarbiyah.

“Alhamdulillah Balqis, Allah itu sangat sayangkan kita, Allah tidak biarkan kita hanyut dengan zaman remaja kita. Padahal zaman ini, zaman bergolak hawa dan nafsu. Begitu ramai remaja yang hanyut sehingga mereka tidak merasakan manisnya beribadah kepada Allah, manisnya bercinta dengan Allah.”

“Balqis, betapa Allah itu sayangkan kita, Allah memberi peluang untuk kita sahut seruan nabi, Muda sebelum Tua. Masa muda yang singkat ini, perlu di manfaatkan sebaiknya, sebelum Tua datang menjemput”. Aku membalas lagi.

“Balqis, apabila kita lihat sahabat-sahabat kita mendirikan rumahtangga, timbul rasa cemburu dihati..apabila kita dengar sahabat kita bakal mendapatkan zuriat, timbul rasa ingin cepat-cepat mencetak zuriat sendiri..tetapi malangnya,kita sentiasa berfikir tentang orang lain, kita jarang menghargai anugerah Allah buat kita utk masa sekarang..

Sekarang kita masih solo,masih ‘single’ masih ad banyak waktu untuk jalinkan hubungan dengan Allah, masih ada banyak masa dgn sahabat-sahabat, masih ada banyak waktu dgn ibu ayah, masih banyak waktu utk kerja dakwah..jika waktu masih ada manfaatkanlah ia sebaiknya, supaya selepas kita punyai tanggungjawab lain nanti, kita berpuas hati dengan apa yang kita buat sebelum mendapat 'taklifat itu'..

Balqis hanya mendengar dan kadang-kadang mengangguk.

“Allahuakbar Allahu Akbar”

Kedengaran Azan yang sungguh merdu dari corong pembesar suara Shas Mosque. Sahabatku, Mashi dan Afaf, sedang beriktikaf di sana. Hanya kami berdua sahaja yang masih belum tiba di masjid.

Aku segera menghidupkan ‘kuda merahku’, sebuah Modenas Ct100. Dan terus bergegas ke Masjid.

Perbualan yang singkat tadi, memberi banyak motivasi dan inspirasi. Terasa pergi ke Masjid dengan nafas baru. Nafas seorang hamba yang Muda, yang sangat mengharapkan peluang masa berhubungan dengan Allah, berkhalwat denganNya, terus bercinta denganNya dan tidak lekang dari dakapan kasihNya..

Terasa diri ini, amat memerlukan cintaNya, berbanding dari cinta seorang lelaki.

Dia memberi cinta tanpa mengharapkan balasan dan cinta yang semaksimum mungkin. Bukan seperti cinta kepada manusia yang akan layu, di saat diuji, bukan hanya sekadar melafazkan sayang dan rindu ketika senang, dan bukanlah dia penjamin kebahagiaan kita.

Tiada yang lain selain Allah.

Rebutlah cintaNya, ketika kamu di usia sebegini.

Aku teringat pesan seorang ustazah bahasa arab, semasa di UIA Nilai, iaitu Ustazah yang mirip dengan Ustazah Fatimah Syarha,dialah Ustazah Amirah.

Ustazah Amirah pernah berpesan, “Beribadatlah sepenuh hati ketika kamu masih ‘single’, kerana lepas kamu berkahwin, masa kamu dengan Allah cukup terhad. Qiamullail pun sudah susah untuk kamu lakukan, kerana kepenatan menguruskan rumah tangga”.

Nasihat itu masih segar di jiwa.

Hati bermonolog, ya betul juga kata-kata Ustazah Amirah. Aku harus tanamkan satu tekad sebelum perkahwinan menjemput. Tekad untuk sentiasa bersemangat mengemban dakwah, mengulang hafazan Alquran, berbakti kepada ibu ayah, menuntut ilmu semampunya dan sebagainya.

Tekad baru yang harus di pasak pada hati, direalitikan melalui wasilah tulang dua kerat.

Sahabat sekalian, marilah kita kukuhkan hubungan kita dengan pencipta, supaya syurga menjadi milik kita. Jadikan masa ‘single’mu sebagai ladang untuk mengunungkan pahala. Selamat beribadah!

FatmaIIUM,
26 Ramadhan 1434H,
4 Ogos 2013
0110am
Tanah Merah,Kelantan.




:: SATU MALAM YANG POWER! ::

The night of Power


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Alquran) pada malam qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.

Refleksi Hati

Segala puji bagi Allah, Dialah Pemilik cinta ini. Alhamdulillah, Dialah yang menghembuskan satu semangat untuk terus beribadat di bulan yang mulia ini. Dialah yang membenihkan satu pokok keimanan yang berakar teguh tumbuh di dalam sanubari,sehingga aku dapat memberi kepada manusia buah yang terbaik dan impak dari akar yang teguh itu,aku mampu berdiri di sini,sebagai seorang khalifah, sebagai seorang manusia untuk memanusiakan yang lain.

Aku di dunia ini, tidak pernah terlepas dari tanggungjawab dakwah yang sentiasa terpikul di bahu. Metod dakwah yang harus di gunakan itu tidak dispesifikkan oleh Rabb ku.Terpulang. Tetapi, terkadang, aku mampu menuturkan kata-kata hikmah di majlis-majlis ilmu yang mana aku di jemput sebagai  penceramah. Tetapi, penulisan artikel yang seperti ini, aku harapkan ia juga sebagai satu Metod dakwah yang berkesan, untukku sampaikan kepada hati-hati yang memerlukan sentuhan kasih sayangNya.

Menulislah.

Inilah satu kata yang aku sentiasa sematkan dalam diri. Menulis. Hasil karya dan penulisan artikel juga dapat menjadi satu elemen perubahan seseorang dan yang lebih besar, dengan kata-kata, kamu bisa menakluki dunia.“With words, you will conquer the world”.

Tetapi, aku berlindung dari Rabb ku, dari sifat riak,ujub dan sebagainya. Aku menulis ini, untuk aku sampaikan kepada manusia. Segalanya dari Rabbku, bukan dariku. yaAllah,izinkan aku berkongsi dengan manusia, rasa dan bahagia yang aku kecapi bersamaMu, supaya semua manusia merasai yang sedemikian. YaAllah, izinkan aku untuk mengajak ramai hati-hati untuk bertaut di bawah satu panji CintaMu. Kerana aku tahu, Engkau Mengasihi hamba yang membawa yang lain menuju cintaMu.

Sahabatku, terimalah penulisan yang tidak seberapa ini, dari hamba yang fakir di dunia, tetapi berusaha menjadi kaya di akhirat. Sahabat semua, terimalah isi hati ini. Selamat membaca.

SATU MALAM YANG POWER!

“Fatma,akak nak minta tolong boleh? Akak nak jemput Fatma untuk jadi qariah Alquran untuk satu majlis ilmu, bertajuk The Night Of Power”. Fatma sudi?”. Tanya seorang akhawat yang aku kasihi.

Aku segera membalas,”insyaAllah, dengan izin Tuhanku, aku sudi.

Alhamdulillah, Allah memberi peluang untuk aku perdengarkan bacaan Surah AlQadar kepada tetamu yang hadir dalam taman syurga dunia. Apa yang aku kagum di sini, Allah itu sentiasa bersama. Allah akan menegur jika kita lupa dan Allah akan hadirkan satu peristiwa untuk kita kembali kepadaNya selepas satu kelalaian yang menyeronokkan bagi hati yang gersang dengan cintaNya.

Alhamdulillah, satu teguran dari Allah, untuk aku merenung sedalam-dalamnya, makna satu surah iaitu dinamakan Surah Alqadar. Teguran ini Allah campakkan untuk aku bersedia menyambut satu malam yang sangat indah. Iaitu malam Lailatul Qadar.

“Jika tidak menjadi qariah untuk majlis itu, pastinya aku tidak mengambil endah persediaan menuju Lailatul Qadar”. Kata hatiku. Alhamdulillah Allah masih meyayangi diri ini. Terima kasih Allah.

Di dalam artikel ini, saya ingin berkongsi bersama sahabat semua, ilmu yang ana perolehi dari taman syurga dunia, satu talk bertajuk “The NIGHT OF POWER”, yang di sampaikan oleh Dr Halima (AIKOL).

Mari hayati bersama.

Ramadhan itu analogikan sebagai satu kotak.  Kotak yang mana dihadiahkan oleh Pencipta kita Yang Maha Agung. Kotak itu dibaluti dengan pembalut Puasa. Kotak itu, harus dibuka dan dibuka sehingga kita temui satu hadiah di dalamnya. Hadiah yang teramat mulia. Hadiah yang tidak tercapai di akal.

Itulah Lailatul Qadar.

Apa itu Lailatul Qadar? Mengapa istimewanya malam ini? Power sangat ke malam Lailatul Qadar? Persoalan yang mungkin bermain di fikiran anda. Termasuk saya.

AlQadar diertikan sebagai ‘Qiimah’ atau ‘value’. Malam yang penuh bernilai. Mana tidaknya, Dalam banyak-banyak malam, Allah memilih malam inil untuk menurunkan AlQuran. Hebatkan?

Lailatul Qadar ini juga seolah-olah satu malam pembentangan qadar(ketetapan) masing-masing oleh Allah untuk setahun ke depan. Meliputi tahap rezekinya, kesihatannya, urusannya dan sebagainya. Ia seolah-olah malam pembentangan bajet tahunan oleh pihak kerajaan untuk setahun kemudian. Beginilah Lailatul Qadar. Pada malam itulah Allah menetapkan semua ketetapan kita. Jadi alangkah baiknya, semasa qadar kita di bentangkan oleh Allah, pada waktu itu, kita tengah bersujud kepada Allah, kita sedang membaca AlQuran, kita sedang menangis mengadu kepadaNya, kita sedang beribadat sepenuh hati. Alangkah beruntungnya kita, masyaAllah.

Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah, jika aku temui Lailatul Qadar, apa yang perlu aku ucapkan. Jawab nabi, bacalah doa ini:

اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فعف عني

Sahabat yang di rahmati Allah, dalam doa ini, disebut sifat ‘kareem’ Allah  S.W.T. Sifat ‘kareem’  Allah ini diertikan,melalui tiga cabang, pertama: Pemurahnya Allah, Dia memberi kepada kita apa yang kita tidak minta. Kedua: Dia memberi kepada kita semaksimum mungkin dan yang Ketiga: Allah tidak menarik semula pemberiaanNya.

Sahabatku, pintalah kepadaNya melalui doa ini. Doa yang di sebutkan di atas. Pintalah kepada Allah yang bersifat ‘kareem’. Pasti Dia tidak pernah sesekali menhampakanmu.

Disebutkan di dalam Alquran, malam Lailatul Qadar ini, satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. 1000 bulan bersamaan 83 tahun 4 bulan. Sahabatku, cuba kita renung, kita tidak mampu untuk hidup selama 83 tahun dengan terus-terusan beribadat kepada Allah. Tetapi, pada malam yang power ini, Allah sediakan ganjaran standing itu.

Agak-agak nak sahut tak ganjaran yang besar ini?? Tanya hati masing-masing.

Sahabatku, cuba hayati kisah ini.

Kisah seorang lelaki yang terlibat dalam pelbagai kes jenayah. Dia di penjarakan dan namanya di black list. Tidak dibenarkan keluar Negara, di sekat pasportnya oleh pihak kastam, dan sebagainya. Lelaki ini tidak mempunyai harta kecuali RM1 sahaja. Tetapi, cuba bayangkan, jika suatu hari, hadir seorang lelaki lain yang memberitahunya bahawa dia dibebaskan dari penjara, namanya sudah di padamkan dari senarai blacklist, pasportnya sudah dapat dipakai, dan hartanya di gandakan menjadi RM1000 dan semua cita-citanya dipenuhi. Sahabatku, agak-agaknya, apa perasaan lelaki tadi?

Gembira, bersyukur,tidak percaya,speechless dan sebagainya.

Cuba kita letak diri kita di tempat lelaki tadi? Apa perasaan kita?

Begitulah hakikatnya Lailatul Qadar dan keajaiban Ramadhan. Allah ingin ‘delete’ nama kita dari senarai ahli Jahannam, Allah ingin mengurniakan malam lebih baik dari 1000 bulan dan Allah ingin memakbulkan hajat pada yang meminta kepadaNya. MasyaAllah, peluang terbuka luas di hadapan kita. Pemurahnya Allah untuk kita.

Sekarang hanya terpulang kepada kita, Mahu atau Tidak!

Sahabat, ayuh bersedia untuk menyambut LAILATUL QADAR, SATU MALAM YANG POWER!


YaAllah,
Aku sering terleka,
Aku sering terlalai,
Dalam keseronokan dunia.
Yang sebenarnya aku tahu,
Ia tidak kekal selamanya.

YaAllah,
Kini aku sedar,
Aku perlu kembali dalam pelukanMu,
Aku perlu kembali dalam dakapanMu.

YaAllah,
Terimalah aku,
HambaMu,
Yang berusaha meniti tangga keampunanMu,
Yang sentiasa mengubah sisi pandangan ketuhananMu.
Mungkin dulu,
Aku jadikan yang lain sebagai tuhanku,
Tetapi kini,
Dengan penyaksianMu,
Akulah hambaMu,
Dan Kau lah satu-satunya Tuhan Agungku.


Terima kasih yaAllah, aku masih bernafas dalam cintaMu.
Semoga Lailatul Qadar menjadi milikku, milik keluargaku dan milik guru-guruku dan milik semua sahabat2ku..ameen..

Nik Fatma Amirah Bt Nik Muhamad&Zakiah
17 Ramadhan 1434H,
25 Julai 2013
1200PM
IIUM,LIBRARY

..::Dalam dakapan CintaMu::..


YaTuhanku,
Cinta ini berputik sejak aku di alam Rahim ibuku,
Kau tiupkan nyawa dan rohku,
Tiada sia-sia,
Melainkan tujuan pengabdian kepadaMu,
Tetapi aku,
Lahir ke dunia ini,
Seronok berbuat kemungkaran kepadaMu,
Seolah-olah lupa janji yang diucapkan,
Semasa penyaksian “Kau Tuhan yang Satu”.

Ya Tuhanku,
Aku akui, diri ini banyak khilaf dan salah,
Penuh dengan duri dosa dan calitan maksiat,
Tetapi ini bukan kehendakku ya Tuhanku,
Cuma aku,tertewas dengan musuh nyataku.

YaTuhanku,
Pandulah diri ini,
Kembali mengenal makrifatMu,
Kembali mengerti KeesaanMu,
Kembali memahami makna cinta dan KasihMu.

Ya Tuhanku,
Disepertiga malamku,
Aku luangkan untukmu,
Untuk aku bersujud,
Untuk aku merintih kepadaMu,
Kerna Aku tahu,
Cita-citaku disini,
Untuk sentiasa berada,
Dalam Dakapan CintaMu.


Refleksi Cinta

Sahabatku yang dikasihi, sejak lahir kita di dunia ini, terlalu banyak nikmatNya untuk kita, nikmat yang paling besar yang semua orang merasai, tetapi tidak semua yang mensyukuri.

Nikmat yang paling bermakna, nikmat bertuhankan Dia.

Betapa beruntungnya kita menjadi hambaNya. Kerana Dialah, kita mampu berada di sini. Hebatkan Dia. Dia menciptakan kita dari air mani yang hina, untuk lahir ke dunia ini menjadi yang mulia.

Sahabatku, cuba kau hitungkan, berapa banyak sedutan nafas yang kau hela sepanjang hayatmu ‘disini’? Banyak bukan? Tetapi sekali lagi cuba hitungkan berapa sahaja nafas yang kau hela untuk tujuan ketaatan kepadaNya?

Disebalik nikmat yang diberi olehNya, tersingkap satu amanah yang besar, amanah penghambaan diri kepadaNya. Amanah inilah yang diingkari oleh musuh kita yang nyata. Adakah kita mahu bermatlamat seperti mereka??

Sahabatku, hidup ini tidak lama, kita tahu semua itu. Tetapi cara kehidupan kita di dunia ini seolah-olah inilah yang kekal abadi? Mengapa? Jawablah dengan iman.

Mengapa di setiap saat yang kita lalui, kita hiasi dengan duri dan calitan dosa?, mengapa di setiap helaan nafas,kita hiasi dengan kemungkaran kepadaNya? Mengapa dan mengapa?

Hamba yang banyak bersyukur dengan semua pemberian dari yang Esa,akan menggunakan semua nikmat untuk proses penghambaan diri kepadaNya. Dia mengerti kehidupan dia di sini adalah sementara, entah bila roh kan berpisah dengan jasad. Jadi, ambillah kesempatan ini untuk bersiap sedia menghitung bekalan untuk ke sana.

Jadilah hambaNya yang banyak merintih kepadaNya di sepertiga malam.
Jadilah hambaNya yang selalu mengharapkan rahmat dan redhaNya,
Jadilah hambaNya yang sentiasa bersedia untuk dijemput olehNya.

Cukuplah dengan ini. Kita kan mampu merasai, betapa halus dan manisnya kasih-sayangNya.

Tempatkan cintaNya di tingkatan cinta yang paling tinggi, supaya dapat kita diami Jannatul Firdaus yang suci.

Hamba yang dekat dengan Allah, akan sentiasa bercakap-cakap,mengadu kesulitannya kepada tuhanNya.Tetapi hamba yang jauh denganNya, akan sentiasa mengeluh, dan seolah-olah mengkufuri nikmatNya. Pilihlah,menjadi hamba yang ‘dekat’ atau yang ’jauh’?

Sahabatku, Allah itu sering membuka pintu rahmatNya, rebutlah ia. Sesekali terjatuh dalam lubang maksiat, teruslah bangkit, bangkit menuju taubat kepadaNya, pasti, Dia terus mengampunimu. Jangan selesa dalam lumpur maksiat, ‘Al Jaheem’ sentiasa terbuka untuk hamba yang sebegini.

Sahabatku, ayuh kita kembali kepadaNya, kembali ke dalam ‘Dakapan cinta dan kasihNya’.
Sahabatku, Selamat Bercinta dengan Allah.

Hamba yang fakir,
Bandar Seri Putra, Bangi.
12 Ramadhan 1434H
0800 AM.



..::UJIAN HATI,AH! PERITNYA.::..


“Kak, saya tak tahan kak, saya susah untuk tempis minat saya kepada seorang lelaki. Wajahnya terus- menerus muncul di kotak fikiran..ketika saya baring, duduk,berjalan dan semuanya,wajahnya sering menemani. Setiap hari dia ada didepan mata saya kak, dia sekelas dengan saya, satu organisasi lagi. Wajahnya sukar untuk dilupa kak”.

Luah Emy kepada kakak angkatnya, Fifi.

Fifi memasang telinga dan mulutnya dikunci, setia mendengar luahan adik angkatnya Emy. Emy ketika itu dalam keresahan dan kesedihan dek kerana cinta seorang lelaki mengasak dan membataskan cintanya kepada Sang Pencipta.

“Emy bukan apa kak, Emy sedih, setiap kali solat, Emy tidak mampu untuk khusyuk, sering lalai, mutabaah ibadah semakin merosot,hati tidak tenang, dan sebagainya,Emy sedih kak”Luahan dasar hati Emy.

Fifi mula memikirkan bagaimana untuk meleraikan kekusutan dijiwa Emy dan mampu menuntunnya kembali bercinta dengan Pencipta. Kelihatan Fifi mula menghangatkan ideanya. Lantas dia memberi respon. 

Adikku,
“Tatkala kamu diuji sebegini, ada orang lain diuji lebih teruk daripada kamu. Ujian hati ini,Allah hadirkan untukmu, kerana bermacam-macam hikmah dan sebab. Adik,Allah itu tidak pernah zalim kepada hambaNya. Mustahil Dia mengujimu sebegini, sebaliknya Dia membiarkan kamu terkapai-kapai dalam maksiat. Allah itu halus perancanganNya. Disetiap gugur satu daun, ada hikmah disebalik itu, disebalik sebutir pasir di pantai,ada rahsia makhfi disitu,disebalik ciptaan seekor kuman yang sangat kecil,ada yang tersirat disitu, mungkin dengan ujian ini,tersinggkap 1001 hikmah.bersabar!”.

Emy mendengar dengan teliti.

“Akak, Emy rasa sangat bersalah,Emy seumpama menduakan cinta Allah. Sebelum ini,Emy syok beribadah, tetapi apabila hadir ‘lelaki itu’, sangat mengganggu hati dan ibadah Emy”. Apa yang patut Emy buat ya kak?”ujar Emy.

Fifi terus memberi respon semampu mungkin.

Adikku, setiap hari,setiap detik,setiap masa kita berdoa “Robbana hab lana min azwajina wazurriyyatina qurrata a`yun,waja`lna lil muttaqiina imama”.

Adik perlu ingat, kita ingin melahirkan seramai mungkin zuriat dari rahim yang suci,dari tubuh kita yang menjaga semua batasan-batasan pergaulan,dari hati yang suci, dari kemaluan yang terjaga, dari lisan yang menuturkan khairul qalam, bagaimana mungkin kita mampu untuk melahirkan zuriat yang qurratu a`yun dengan ketewasan kita dalam ujian sekecil ini. Usah di ikutkan perasaan itu Emy,cubalah sedaya mungkin untuk menempisnya. Kuat!

Ujar Fifi lagi,”Adikku, lelaki itu hadir kadang-kadang Allah ingin memberi satu pengalaman kepada kita dan pengajaran untuk kita hadapi, dan natijah daripada ujian itu,kita dapat kongsikan brsama yang lain. 

Ringkasnya ujian itu adalah untuk menjadikan kita mempunyai banyak pengalaman.

“Maksudnya apa kak?”Tanya Emy.

Begini dik, jika kita tidak pernah diuji sebegini, bagaimana mungkin kita dapat memberitahu orang lain tentang rendah dan tingginya ujian cinta. Apabila kita sendirinya hadapi ujian itu,lebih senang untuk kita memotivasikan orang lain untuk menjauhi benda yang sama kita lalui semasa silam”.

“Emy anggaplah ujian ini satu rahmat. Simple sahaja kan?”pujuk Fifi.

“Rahmat yang mana Allah itu menyayangi kita. Allah hadirkan ujian ini untuk mematangkan kita,dan Allah membuatkan kita selalu mencari cintaNya dan selalu mengetuk hati kita supaya tidak terlalai dari mengingatiNya.”indah bukan? sambung Fifi,

“Dan satu lagi pesan akak, Adik cuba bayangkan, apabila hadirnya lelaki ini kepada adik,adik mengambil keputusan untuk melayannya,berfb,bertwitter,berwhatsapp,setiap malam mengingatinya,setiap masa memikirkannya sehingga roh solat mengendur,apa yang adik akan dapat? Tengok-tengok dia bukannya suami adik. Alangkah ruginya adik, cinta lelaki itu pun adik tak dapat, cinta Allah lagi tergadai”.

“Fikir elok-elok adik, jangan terburu-buru melayani  ‘si dia’ sehingga kita sudah menganggap dialah suami kita. Itu semua satu selimut syaitan yang indah yang menyelimuti hati kita,sehinggakan ‘lelaki itulah segala-galanya”.

Adikku, ingat matlamat kita hidup ‘di sini’. Bukan untuk ‘benda ini’, tetapi untuk memenuhi tuntutan khalifah. Jelaskan matlamat adik, dari mana,kemana dan kepada siapa adik akan kembali. Jika jelas kesemuanya,adik tidak akan tewas walaupun ujian semakin mengasak”.

Adikku, jagalah keberkatan sebelum perkahwinan. Keberkataan yang diraih itu, terhasil dari hijab hati dari maksiat-maksiat, menjaga diri dari godaan musuh yang nyata. Muslimah yang baik itu akan menjaga dirinya sebelum perkahwinan, kerana dia bersedia untuk menjadi seorang bidadari kepada seorang lelaki yang bertaqwa.

“Berhati-hatilah menjaga hati”.tambah Fifi.

“Alhamdulillah,sekarang adik semakin tenang, selepas nasihat yang bertubi-tubi menembusi dasar hati ini. InsyaAllah, Emy cuba kuatkan hati untuk menempis ujian ini, dan cuba untuk menjauhi ‘lelaki itu’. Emy hanya berdoa, jika  ‘dia’ yang terbaik, semoga Allah satukan dalam keberkatan.”ujar Emy.

“Terima kasih akak, saya ingat pesan akak”. Ucap Emy, sambil mengemas begnya untuk bergegas ke masjid.

Sebelum berpisah, pesan Fifi,”Adikku, ingat, Lelaki yang soleh itu, untuk perempuan yang solehah! Ini janji Allah. Yakinlah!.Kadang-kadang jawapan kepada istikharah dan doa itu,terhenti dengan satu penantian masa. Suatu masa ‘ia’ akan hadir. Bersabarlah!.”

NIK FATMA AMIRAH BT NIK MUHAMAD& ZAKIAH
19 JULAI 2013,
10 RAMADHAN 1434H, JUMAAT
02:00 AM
Mahalah Halimah,IIUM.

Mampukah Aku Percaya?

Allah Maha Besar

Beriman dengan sesuatu yang tidak nampak? Bagaimana?

Soal diri.

Iman itu percaya atas dasar bukti dan ia berlalu tanpa sogokan dari sesiapa. Iman tidak boleh dipaksa, ia 
rela dan tenang menjengah hati seorang mukmin.

Pernahkah kita terfikir, mengapa kita diminta untuk beriman dengan benda yang tidak pernah kita lihat? 

Bagaimana untuk kita perhambakan diri ini untuk sesuatu  

yang kita tidak pernah hadir didepan mata?

Aku membuat satu analogi, jika mikrofon ditanganku dan aku bercakap menggunakannya dan aku mendengar suara yang lebih kuat disebabkan menggunakan alat tersbut. Itulah bukti yang menunjukkan aku menggunakan mikrofon dan mikrofon itu berfungsi dan bersifat dengan sifatnya sebagai sebuah mikrofon. Keyakinan aku nyata. Itu mikrofon.

Tetapi cuba renungkan jika mikrofon itu tiada ditanganku, dan suara yang kuat tidak kedengaran dari corong pembesar suara, adakah aku percaya ia itu mikrofon walaupun aku berulang kali mengatakan, ini mikrofon,percayalah ini mikrofon..

Sesuatu yang tiada bukti, bukan mudah untuk kita percaya. Betul kan?

Aku terfikir, bagaimana pula Allah menyuruh kita beriman dengan semua perkara yang kita tidak pernah lihat. Di dalam rukun iman, kita diwajibkan untuk beriman dengan Allah, Rasulullah, Hari Akhirat, Qada` dan Qadar dan sebagainya. Padahal kita sesekali tidak pernah melihat Allah, tidak pernah melihat wajah Rasulullah dan sesekali tidak pernah merasai hari akhirat.

Sesekali datang juga perasaan,eh,tidak logik untuk aku percaya sesuatu yang belum pernah aku lihat..Bagaimana untuk percaya sesuatu yang tidak pernah hadir didepan mata dan tidak ada sedikit pun gambaran tentangya.

Aku berfikir.

Sedalamnya.

Aku cuba melewati satu persatu rukun iman.

Antara 6 rukun iman, ada satu sahaja yang aku dapat lihat dan aku dapat rasai kehadirannya. Iaitu, Alquran.

Aku berfikir lagi, mengapa Alquran sahaja yang terzahir dan diturunkan untuk hamba Allah? Berfikir dan terus berfikir.

Sehingga aku terjumpa satu ayat dari surah Albaqarah:

“Kitab (Alquran) ini tidak ada keraguan padanya; PETUNJUK bagi mereka yang bertaqwa”(albaqarah:2)

Perkataan هدى di dalam ayat ini, membawa maksud petunjuk yang mana ia diterjemahkan sesuatu yang menjadi penunjuk jalan atau indikator sebuah perjalanan menuju keimanan kepada Allah.

Alquranlah menjadi ‘klu’ kepada bukti-bukti yang lain. Jika kita bertanya apa buktinya kita perlu beriman kepada sesuatu yang tidak pernah dilihat, jawapannya ialah Alquran dan terkandung semuanya di dalamnya, Alquranlah terkandungnya bukti-bukti yang menjawab persoalanku tadi.

Dan Alquran menjadi penunjuk jalan untuk mereka yang bertaqwa. Tanpa taqwa kepada Allah, mereka jauh dari pegangan dan dorongan dari firman Allah itu.

Apa bukti Alquran itu petunjuk? Timbul satu lagi persoalan?

Di dalam surah Fussilat ayat 52 Allah menyebut,: Katakanlah, Bagaimana pendapatmu jika Alquran itu datang dari sisi Allah, kemudian kamu mengingkarinya. Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang selalu berada dalam penyimpangan yang jauh(kebenaran)?

“Dan kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kebesaran kami disegenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Alquran iu adalah benar. Tidak cukupkah bagi kamu bahawa Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?

Jelaslah bahawa bukti itu semuanya ada di dalam Alquran dan disegenap penjuru alam. Ia akan terlihat dan terbukti untuk sesiapa yang rajin mentadabbur sedalam-dalamnya kitab suci Alquran dan berfikir tentang kejadian Alam ini.

Subhanallah, sungguh hebat Tuhan kita, Allah sekalian Alam. Kita di minta untuk sentiasa berfikir, bagi mendapatkan hikmah disebalik penciptaan rukun iman dan rukun islam.

Alhamdulillah kini sudah terjawab semuanya. Aku harus genggam sekuatnya pegangan kedua rukun itu untukku menjadi hambaNya yang terbaik!

Alhamdulillah,terima kasih Allah.

| Suara Siswa Ikim fm- Mahasiswa dan Bahasa Arab |

Alhamdulillah, selesai berkongsi bersama rakyat malaysia tentang Mahasiswa dan Bahasa Arab.. Terima kasih kepada rakan2 daripada Majlis T...