Saturday, January 3, 2015

:: Rasulullah, kami merinduimu! ::

| 12 Rabiul Awwal 1435H |
YA RASULULLAH, KAMI MERINDUIMU!
Setelah 9 hari berada di Madinah, tibalah masanya untuk kami bertolak ke Makkah. 28 September 2013 adalah hari terakhir kami di Madinah. Seperti biasa selepas solat Subuh, saya akan meluangkan masa untuk berada di Raudhah untuk berdoa dan bersolat di sana. Perasaan hiba dan sedih membungkam qalbu. Hari ini kami akan berpisah dengan bumi Rasulullah.
Di bumi ini saya merasakan perasaan cinta dan kasih kepada Rasulullah itu lebih dekat. Terasa Rasulullah berada dekat di sisi walau baginda sudah pergi. Setiap kali ingin melakukan apa sahaja perbuatan, saya sentiasa ingat bahawa Rasulullah ada bersama di sini. Sebelum ini di Malaysia, saya kurang berselawat kepada Rasulullah, saya kurang menangis mengingati Rasulullah. Tetapi ziarah kali ini menyebabkan air mata ini sentiasa menjengah pipi, saat rindu dan teringat akan Rasulullah.
Semasa berada di Madinah, saya sering muhasabah tentang kerja dakwah yang telah saya lakukan sebelum ini semasa berada di Malaysia. Saya masih lagi malas dan tidak bersungguh-sungguh untuk meneruskan perjuangan Rasulullah. Tetapi sewaktu berada di Raudhah pada ketika itu, hati ini tenang melafazkan,” ya Rasulullah, aku akan menyambung perjuangan dakwahmu”. YaAllah, bantulah aku untuk sentiasa thabat di jalan dakwah ini. Semoga lafaz itu membuatkan aku terus bersemangat untuk menjadi salah satu anak panah islam untuk meneruskan rantai perjuangan Rasulullah.
Bermula dari detik paling bahagia sehinggalah detik paling menyakitkan, pasir dan kelikir bumi Madinah menjadi saksi bisu untuk semua itu dan kini saya hampir menuju perpisahan dengan saksi-saksi bisu ini. Kaki melangkah lesu meninggalkan Masjid Nabawi. Semua peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa di sana disimpan rapi dalam memori hati. Hanya mengharapkan pertemuan dengan Madinah al-Munawwarah untuk masa yang akan datang.
Saya bersiap dengan pakaian ihram dan menunggu ketibaan bas di lobi hotel. Selepas itu, kami diminta untuk menaiki bas mengikut angka yang tertera pada kad pengenalan diri untuk jemaah haji. Pandangan yang terakhir kepada Masjid Nabawi diiringi dengan air mata yang membasahi pipi. Sekilas, saya teringat pada sebuah ayat yang wajar menjadi prinsip bagi setiap kader dakwah yang mengaku mencintai Nabi Muhammad. Saya ulang-ulangi ayat ini di dalam hati:
“ قل إن كنتم تحبون الله فاتبعوني يحببكم الله ويغفر لكم ذنوبكم والله غفور رحيم”
““Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu.” Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)”
Ya Allah, cintaku pada-Mu membawa aku kepada cinta yang mendalam terhadap Rasul-Mu. Sungguh benar ya Allah, cinta kami kepada-Mu dan kekasih-Mu perlukan pembuktian yang jelas. Bantu kami ya Allah, agar menjadi hamba yang benar-benar cinta.
Terasa sedih yang mendalam untuk berangkat pergi. InsyaAllah, bakal bertamu lagi di sini. Assalamualaika ya Rasulullah. Ya Rasulullah, kami merinduimu!
Allahumma solli a'la Muhammad

No comments:

Post a Comment

| Suara Siswa Ikim fm- Mahasiswa dan Bahasa Arab |

Alhamdulillah, selesai berkongsi bersama rakyat malaysia tentang Mahasiswa dan Bahasa Arab.. Terima kasih kepada rakan2 daripada Majlis T...